Penundaan bantu promosi RADIO ROSAK


Penundaan bantu promosi
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IKUT perancangannya, kemuncak Konsert Radio Rosak 2009 berlangsung pada 26 Disember lalu. Namun, atas sebab tertentu, konsert itu terpaksa ditunda pada 6 Mac 2010. Mengekalkan lokasi sama, ia dijangka berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur.
TERUSKAN SOKONGAN…sebahagian artis terbabit menjayakan Konsert Radio Rosak 2009 setia menunggu tarikh 6 Mac 2010 untuk persembahan.
TERUSKAN SOKONGAN…sebahagian artis terbabit menjayakan Konsert Radio Rosak 2009 setia menunggu tarikh 6 Mac 2010 untuk persembahan.

Penangguhan dikaitkan atas permintaan penaja, Neo Worldwide Entertainment. Justeru, Pengarah Projek Konsert Radio Rosak 2009, Edrie Hashim tampil memohon maaf pada peminat yang sudah membeli tiket berharga RM30.

Edrie berkata, sekalipun perbincangan dibuat antara dua pihak, namun dia harus akur. Katanya, dia sudah berusaha sedaya-upaya untuk memastikan konsert itu berlangsung pada 26 Disember lalu. Tetapi, akhirnya dia perlu mengalah dengan keadaan.

“Sehubungan itu, saya memikirkan yang positif pada penangguhan berkenaan. Bagi saya, dengan penundaan pada tarikh baru, 6 Mac 2010 akan lebih membantu dari aspek promosi. Semoga ruang untuknya (konsert) mendapat publisiti masih lagi meluas.

“Apapun, saya meminta maaf pada peminat yang sudah mendapatkan tiket konsert termasuk artis seperti Search, Wings dan FTG yang menjayakannya. Bukan hasrat saya untuk menangguhkannya pada saat akhir, namun apakan daya kita hanya merancang.

“Namun, saya masih yakin konsert ini mampu menarik lebih ramai pengunjung memandangkan konsert kemuncak dirancang dilihat berskala besar. Malah, rugi kepada sesiapa yang tidak datang menonton konsert ini kerana ia dijamin persembahan terbaik.

“Saya juga bersyukur artis yang menyertai konsert ini setia memberi sokongan mereka dan bersabar. Malah, saya menjangkakan bagi kemuncak konsert ini kira-kira 8,000 hingga 10,000 penonton di harap berkunjung ke Stadium Negara menyaksikannya,” kata Edrie.

Menyentuh soal perasaannya, Edrie berkata, kekecewaan itu tetap ada. Ini kerana penganjuran Konsert Radio Rosak 2009 itu projek pertama syarikatnya. Menurut komposer dan pemuzik terkenal tanah air itu, dia sangat mengharapkan kejayaan.

Katanya, yang pasti dia berasakan konsert berkenaan masih memerlukan promosi menyeluruh. Bagaimanapun, pada tarikh 6 Mac 2010 itu juga turut menjadi malam pelancaran untuk siri jelajah Konsert Radio Rosak 2010 dan memaklumkan lokasi terpilih.

Memulakan siri jelajah bermula Februari lalu, Konsert Radio Rosak 2009 yang menjengah lokasi pertama di Johor Bahru berjaya menarik seramai 4,000 pengunjung menyaksikannya. Manakala, Jun pula di Pasir Gudang, Johor mencatat 4,000 penonton.

Bagaimanapun, konsert di Melaka pada Oktober lalu hanya mencatat seramai 2,000 pengunjung. Edrie berkata, pihaknya sedia mengambil langkah menganjurkan konsert bergerak itu berikutan sudah lama siri jelajah mendekati peminat tidak diadakan.

“Disebabkan ini, saya bercadang hendak ‘kasi pecah’ konsert di Kuala Lumpur nanti. Bagi saya, ia penghargaan atas sokongan peminat kepada artis dan industri hiburan tanah air. Oleh itu, saya sebenarnya ingin memberikan hadiah istimewa untuk mereka.

“Saya percaya dengan masih aktifnya kumpulan rock seperti Search, Wings dan FTG, kelompok peminat mereka pasti setia memberi sokongan. Apapun, usaha ini diharapkan dapat meningkatkan martabat status muzik tempatan dan terima kasih semua penaja,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.